:::

Biarkan Objek Bercerita: Pemerhatian Projek Muzium Oktober 6

Mengenai pengarang: Patporn (Aor) Phoothong

Patporn (Aor) Phoothong terlibat dalam kerja muzium dan arkib kesusasteraan keamanan dan memberi tumpuan kepada pendidikan keamanan. Baru-baru ini beliau menjalankan kajian mengenai kebolehlaksanaan penubuhan sebuah muzium keamanan bertemakan selatan Thailand. Beliau juga merupakan pengasas Projek Muzium pembunuhan beramai-ramai pada 6 Oktober 1976 dan Projek Muzium dan Arkib Selatan, dan berdedikasi untuk menggunakan muzium dan arkib sebagai alat untuk mengubah konflik dan membina keamanan. Aor bekerja di muzium dan arkib sejak 2011 untuk mempromosikan keamanan dan keadilan. Beliau menjalankan kajian bertajuk "Ke Arah Keamanan dan Rekonsiliasi: Kes Muzium Keamanan Jepun dan Filipina" melalui hibah daripada Fellowship Yayasan Nippon untuk Intelek Awam Asia.

Mengenai Projek Muzium Oktober 6

Projek Muzium Oktober 6 telah diasaskan pada Julai 2019 oleh sekumpulan empat orang, seorang editor dari sebuah syarikat penerbitan, seorang jurugambar dan pengarah filem, seorang arkitek dan seorang penyelidik. Projek muzium ini bertujuan untuk mewujudkan ruang sosio-politik di mana orang dari latar belakang yang berbeza boleh berkomunikasi dan membincangkan keganasan politik masa lalu dan masa kini di Thailand. Melalui pameran, forum dan bengkel, projek ini berharap pelawat dan masyarakat Thai dapat bertukar maklumat dan bukti dengan bertanya soalan, mengkritik dan akhirnya mencabar budaya impunitas.


Thailand adalah negara yang penuh dengan khabar angin dan kebenarannya sukar diketahui,dan khabar angin selalunya sangat dekat dengan kebenaran sehinggakan seseorang boleh membayangkan apa yang telah berlaku. Apabila saya berpeluang untuk mengambil bahagian dalam satu projek muzium yang bertujuan untuk menyampaikan keganasan politik pada masa dahulu, saya berfikir tentang bagaimana pameran itu boleh memaparkan fakta dan berdialog dengan orang ramai supaya mereka dapat mempersoal, mengkritik, dan akhirnya mengetahui apa yang telah berlaku. 

Pada 6 Oktober 1976, kerajaan Thailand telah membunuh ramai pelajar dan orang biasa yang protes secara aman kepulangan bekas diktator di Universiti Thammasat. Mengikut angka rasmi yang dikemukakan, terdapat 46 orang terbunuh dan 167 orang cedera, dan lebih daripada 3,000 pelajar telah ditangkap dalam kejadian tersebut. Semua orang yang terlibat dalam kejadian itu telah dibebaskan apabila Akta Pengampunan telah diluluskan pada tahun 1978 terutamanya pelaku: polis, pegawai peronda sempadan, separa tentera dan kumpulan sayap kanan. Pada Julai 2019, 43 tahun selepas pembunuhan beramai-ramai, kami melancarkan Projek Muzium Oktober 6 untuk mencabar budaya impunitas (budaya bebas daripada hukuman). Kami menggunakan objek-objek berkaitan dengan keganasan politik pada masa dahulu dan masa sekarang untuk mewujudkan ruang pembelajaran sosiopolitik. Matlamat muzium adalah untuk mencabar budaya ketidakadilan dan impunitas Thailand yang telah lama wujud melalui pameran, forum, filem atau cara yang lain, menggalakkan orang ramai mempersoalkan, bersuara dan mengkritik melalui dialog.

Saya telah menggunakan masa lebih daripada 20 tahun untuk mengetahui sebab kenapa kami tidak dapat membincangkan atau menyiasat perkara ini secara mendalam. Thailand telah lama diperintah oleh kerajaan tentera yang mengutamakan keselamatan negara. Kerajaan Thailand mengawal ingatan                 rakyatnya dengan kewujudan budaya impunitas, dan ditambahkan lagi dengan penyalahgunaan kuasa dan pengabaian tugas oleh pegawai kerajaan. Keganasan politik pada masa dahulu menjadi subjek sensitif atau tabu. Terdapat juga orang yang berpendapat bahawa hanya dengan melupakan apa yang telah berlaku pada masa dahulu baru kita dapat bergerak ke hadapan. Semua ini adalah cabaran yang kita hadapi semasa kita memperingati dan berdialog mengenai masa dahulu.

Walau bagaimanapun, rampasan kuasa yang berlaku pada 2014 telah mengubah pandangan kebanyakan rakyat Thailand terhadap pihak tentera. Orang-orang Thai, terutamanya generasi muda telah mula membincangkan dan mempersoalkan tentang keganasan politik masa dahulu dan tanggungjawab kerajaan ke atas apa yang telah berlaku. Pembunuhan beramai-ramai pada 6 Oktober, 1976 merupakan salah satu topik yang dibincangkan secara terbuka.

Pameran Pertama kami yang bertajuk“Prajak / Payan”(Saksi) telah dipamerkan pada 5- 6 Oktober 2019. Hanya tiga objek yang dipamerkan, iaitu sepasang seluar jeans yang dilucutkan dari badan pelajar lelaki yang ditembak dan dibunuh pada 6 Oktober 1976, sebuah tanduk dengan lubang peluru, dan sebuah pintu merah di mana dua mayat telah digantung pada 24 September 1976. Kami menunjukkan objek-objek ini dengan penerangan ringkas sahaja kerana objek-objek ini adalah item sebenar dan saksi kepada keganasan. Apabila memasuki bilik pameran, ketiga-tiga objekberkenaan berdialog terus dengan pelawat dan memaparkan kepada pelawat dengan fakta yang tidak memerlukan penjelasan lanjut.

Saya masih ingat ketika saya berada di dalam bilik pameran melihat orang ramai berjalan di sekitar kawasan pameran, saya memikirkan dalam hati saya, “Mengapakah begitu ramai orang datang melihat tiga objek ini? Adakah kerana mereka tidak pernah melihatnya? Adakah kerana mereka ingin tahu kebenarannya? Adakah kerana mereka ingin mengetahui sama ada kejadian 6 Oktober 1976 itu benar-benar berlaku? Atau adakah kerana mereka ingin bertemu dengan kita atau orang lain yang mempunyai pemikiran dan soalan yang sama seperti mereka?”

Pameran Kedua kami yang bertajuk“Kwean”(Penggantungan) yang menggunakan teknologi AR untuk berdialog dengan pelawat, dipamerkan pada 1-10 Oktober 2020. Kami memberi tumpuan kepada kejadian yang berlaku di sekitar Dataran Istiadat Diraja di mana sekurang-kurangnya 5 orang digantung di atas pokok pada pagi 6 Oktober 1976. Pameran itu dipamerkan di lokasi asal tempat kejadian, dan para pelawat dapat melihat mayat yang digantung atau ditembak berdasarkan gambar yang diambil pada masa kejadian itu berlaku dengan menggunakan teknologi AR.

Apabila kerajaan Thailand ingin rakyatnya melupakan apa yang telah mereka lakukan dan tidak ingin mengambil tanggungjawab atas tindakan mereka, salah satu cara untuk mencabar mereka adalah dengan menggunakan bukti dan objek peninggalan kejadian tersebut untuk menghasilkan semula tingkah laku mereka dan memaparkannya kepada orang ramai. Pameran kami berlangsung di lokasi asal tempat kejadian, menunjukkan terus si pelaku, identiti mangsa, skala keganasan dan tempat di mana jenayah berlaku. Para pelawat yang mengunjungi pameran ini merupakan saksi kepada kejadian keganasan pada masa lalu.

Saya mendapati bahawa pelawat, terutamanya remaja, mengetahui tentang pembunuhan beramai-ramai pada 6 Oktober 1976 dengan teliti. Mereka mendapat pengetahuan daripada arkib dalam talian “Rekod 6 Oktober”, internet dan penerbitan. Mereka datang ke pameran untuk mendapatkan pemahaman yang lebih lanjut dan untuk berdialog dengan kakitangan dan pelawat yang lain. Saya juga mendapati bahawa walaupun konteks sosio-politik Thailand memainkan peranan penting dalam meng-awal ingatan dan kebebasan bersuara rakyat, konteks sosio-politik semasa juga mendorong orang  ramai mencari kebenaran. Dari perspektif ini saya melihat bahawa muzium boleh menggalakkan budaya keamanan dan mencegah keganasan pada masa hadapan.

Projek muzium Oktober 6 masih berjalan, dan masih jauh lagi perjalanan kita sebelum muzium fizikal boleh ditubuhkan. Tetapi, projek ini boleh memainkan peranan yang sama seperti muzium dalam proses menjalankannya, seperti mengumpul lebih banyak objek yang berkaitan, menganjurkan  pameran, bengkel, atau seminar. Saya percaya kita akan berterusan dalam: (1)bertanya soalan: apa yang kita tahu dan apa yang kita tidak tahu, di manakah data, bukti dan maklumat, siapa yang terlibat dalam kejadian itu, dan siapa pihak berkepentingan?  (2)mengumpul maklumat, kesaksian, ingatan, dan bahan daripada pelbagai kumpulan: pelaku, mangsa, saksi dan orang lain, (3)membolehkan maklumat, kesaksian, kenangan, dan bahan dapat diakses oleh pelawat, dan (4) Demi keadilan, memperkasakan pembinaan budaya arkib muzium.

1: Seorang senior pergerakan pelajar pada 6 Oktober 1976 menjadi pemandu pameran sukarelawan mengongsikan kenangan dan pengalamannya. Gambar-gambar di dinding diletakkan berhampiran dengan tempat mangsa ditembak.(Foto kredit: Patporn (Aor) Phoothong)

1: Seorang senior pergerakan pelajar pada 6 Oktober 1976 menjadi pemandu pameran sukarelawan mengongsikan kenangan dan pengalamannya. Gambar-gambar di dinding diletakkan berhampiran dengan tempat mangsa ditembak.(Foto kredit: Patporn (Aor) Phoothong)

2: Pelawat dan Pintu Merah di Pameran Pertama “Prajak / Payan” (Saksi).(Foto kredit: Patporn (Aor) Phoothong)

2: Pelawat dan Pintu Merah di Pameran Pertama “Prajak / Payan” (Saksi).(Foto kredit: Patporn (Aor) Phoothong)

3: Pemandu pameran sukarelawan sedang menerangkan kepada sekumpulan pelajar mengenai apa yang telah berlaku di tempat mereka berdiri, iaitu mayat seorang gerakan reformasi ditemui di sana pada pagi 6 Oktober 1976.(Foto kredit: Patporn (Aor) Phoothong)

3: Pemandu pameran sukarelawan sedang menerangkan kepada sekumpulan pelajar mengenai apa yang telah berlaku di tempat mereka berdiri, iaitu mayat seorang gerakan reformasi ditemui di sana pada pagi 6 Oktober 1976.(Foto kredit: Patporn (Aor) Phoothong)

4: Pelawat dan Pintu Merah di Pameran Kedua "Kwan" ("Digantung"). Di sini pelawat dapat melihat objek muzium dengan lebih teliti.(Foto kredit: Patporn (Aor) Phoothong)

4: Pelawat dan Pintu Merah di Pameran Kedua "Kwan" ("Digantung"). Di sini pelawat dapat melihat objek muzium dengan lebih teliti.(Foto kredit: Patporn (Aor) Phoothong)

5: Ini merupakan gambar perwakilan pembunuhan beramai-ramai pada 6 Oktober. Tiada seorang             pun daripada orang dalam gambar ini dikenal pasti. Gambar ini digantung pada dinding 20 meter dari tempat gambar diambil.(Foto kredit:  Patporn (Aor) Phoothong)

5: Ini merupakan gambar perwakilan pembunuhan beramai-ramai pada 6 Oktober. Tiada seorang pun daripada orang dalam gambar ini dikenal pasti. Gambar ini digantung pada dinding 20 meter dari tempat gambar diambil.(Foto kredit: Patporn (Aor) Phoothong)


Videos
RAP AGAINST DICTATORSHIP - ประเทศกูมี

RAP AGAINST DICTATORSHIP - ประเทศกูมี