:::

Hak Asasi Rakyat Indonesia Semasa Wabak

Mengenai Pengarang: Erpan Faryadi

Erpan Faryadi merupakan Pengurus Projek bagi Link-AR Borneo. Nama penuh Link-AR Borneo ialah Lingkaran Advokasi dan Riset(Advocacy and Research Circle of Borneo), dan ia merupakan satu organisasi komuniti yang mengusahakan demokrasi, hak asasi manusia, sumber asli, perubahan iklim dan advokasi, pergerakan, pendidikan dan penyelidikan untuk kedaulatan rakyat di Kalimantan Barat.

Pengenalan Organisasi: Link-AR Borneo

Nama penuh Link-AR Borneo ialah Lingkaran Advokasi dan Riset (Advocacy and Research Circle of Borneo), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada 2 April 2009 untuk menggalakkan advokasi dan menangani masalah serius kawalan perlombongan ke atas sumber asli seperti tanah dan hutan. Industri perlombongan telah mengawal sumber asli untuk kepentingan politik dan ekonomi, dan mereka telah mengutamakan pengekstrakan bahan mentah yang digunakan sebagai bekalan kepada industri utama dunia. Borneo kaya dengan sumber alam dan dengan itu keadaan ini memang sukar untuk dipisahkan.

Oleh itu, Link-AR Borneo menggalakkan advokasi berasaskan bukti untuk menunjukkan kepentingan masyarakat dan keadilan ekologi yang mampan. Sejak penubuhannya, Link-AR Borneo telah aktif dalam menegakkan dan mempertahankan hak asasi manusia, menggalakkan keadilan, membuat reformasi dalam pengurusan untuk melindungi hutan dan tanah, dan menggalakkan kebebasan masyarakat dalam isu pengurusan hutan dan tanah.


Sekarang adalah masa untuk mengkaji semula dasar dan tindak balas kerajaan Indonesia terhadap wabak COVID-19 dan apakah kesan dasar serta tindak balas tersebut terhadap rakyat, termasuk pelaksanaan dan penghormatan hak asasi manusia.

Sejak awal 2020(Januari-Mac), Kerajaan dan pegawai Indonesia tidak pernah memandang serius situasi wabak koronavirus, sebaliknya memandang rendah dan enggan mempercayai kewujudan virus tersebut. Pada awal 2020, Naib Presiden Indonesia berkata selagi ada doa daripada pemimpin agama, tidak akan ada wabak koronavirus di Indonesia. Malah Presiden Indonesia, Joko Widodo turut mengelirukan rakyatnya. Pada Mac 2020, beliau menyatakan bahawa rakyat Indonesia boleh mengawal wabak koronavirus dengan meminum jamu. (Rujuk CNN Indonesia, 16 Mac 2020, “Media Asing Soroti Jokowi Minum Jamu Untuk Tangkal Corona”). Kerajaan Indonesia menggunakan kenyataan tidak saintifik seperti ini sebagai asas untuk menangani wabak koronavirus. 

Langkah yang diambil oleh kerajaan Indonesia dalam mencegah koronavirus

Pada Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak koronavirus sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa. Kerajaan Indonesia sepatutnya mengambil langkah pencegahan yang sistematik mulai saat tersebut dan berunding dengan pakar perubatan terutamanya pakar epidemiologi atau ahli epidemiologi untuk menghentikan penularan wabak. Tetapi, Walaupun ini merupakan isu perubatan, kerajaan enggan mendengar pendapat pakar perubatan. Pendapat pakar perubatan kadangkala dipandang ringan, dan terdapat juga laporan mengenai pendapat kerajaan yang bertentangan dengan pendapat pakar  perubatan. Mulai April 2020, kerajaan Indonesia mengarahkan Tentera Nasional Indonesia (Indonesian National Armed Forces, TNI) dan polis untuk mengurung rakyat di dalam rumah mereka1, menyekat aktiviti keagamaan dan kebebasan bergerak, serta melarang perhimpunan dan perarakan. Perbuatan sedemikian mungkin telah melanggar hak asasi manusia, terutamanya hak sivil dan politik.

Setelah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak koronavirus sebagai pandemik global, kerajaan Indonesia sememangnya telah melaksanakan langkah pengawalan, walaupun ia tidak meluas ke seluruh negara. Pakar kesihatan awam berpendapat bahawa langkah kawalan wabak Jokowi terlalu lambat untuk menenangkan rakyatnya. (Rujuk BBC News Indonesia, 16 Mac 2020, “Virus corona: Jokowi umumkan langkah pengendalian Covid-19, tetapi tanpa komando nasional”)

Kerajaan Indonesia juga suka mengumumkan kosa kata tentang wabak dan dasar pencegahan wabak baru setiap bulan, tetapi tindakan sedemikian tidak membantu menghentikan penularan virus. Ini menunjukkan bahawa kerajaan Indonesia berada dalam keadaan huru-hara dan tidak mempunyai langkah pencegahan wabak yang sistematik.

Pada Disember 2020, Menteri Hal Ehwal Sosial Indonesia, Juliari Batubara menggunakan Program Bantuan Sosial COVID-19 untuk menerima rasuah. (Rujuk 2) 2Semasa rakyat Indonesia sedang berjuang melawan koronavirus, pegawai kerajaan Indonesia pula muncul skandal yang begitu teruk.  

Peningkatan kes positif dan kematian koronavirus telah menyukarkan usaha pencegahan wabak kerajaan Indonesia. Kerajaan sepatutnya melindungi kesihatan rakyat (juga salah satu hak asasi manusia), seperti memastikan kakitangan perubatan di barisan hadapan yang memerangi wabak mempunyai peralatan perlindungan yang mencukupi. Malangnya, kerajaan Indonesia nampaknya tidak dapat membantu dalam menghadapi wabak koronavirus, kes positif dan kematian terus meningkat sejak pertengahan Jun 2021.

Kesan Wabak Koronavirus Terhadap Rakyat Indonesia

Sejak April 2020, Kerajaan Indonesia telah mengumumkan pelaksanaan“Pembatasan Sosial Berskala Besar” (PSBB) untuk memutuskan rantaian penularan. Tetapi, tindakan yang diambil tidak mencapai matlamat WHO untuk membendung penularan wabak dan mengurangkan jumlah kematian. Pada Julai 2021, wabak koronavirus telah berleluasa di Indonesia disebabkan oleh ketidakpastian kerajaan dalam membuat keputusan di antara kesihatan rakyat dengan pembangunan ekonomi

Dari 3-20 Julai, 2021, kerajaan Indonesia melaksanakan “Pembatasan Sosial Berskala Besar” (PSBB) di Pulau Jawa dan Bali, untuk mencegah penularan wabak dan  mengurangkan kes kematian. Bagi daerah dan bandar yang mempunyai tahap pentadbiran yang lebih rendah di luar Jawa dan Bali, Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM Mikro Darurat) dilaksanakan. Namun begitu, semua tindakan ini gagal membendung penularan wabak, dan jumlah kes positif serta kematian terus meningkat.

Peranan Pertubuhan Masyarakat Sivil Indonesia Semasa Wabak Koronavirus

Pertubuhan Masyarakat Sivil di Indonesia menjadi aktif selepas reformasi dan keterbukaan Indonesia (selepas Era Orde Baru), dan di antaranya, banyak Pertubuhan Masyarakat Sivil sangat mengambil berat tentang isu-isu seperti hak asasi manusia, perubahan iklim, penjagaan kesihatan, reformasi kehakiman, kedaulatan makanan, hak dan reformasi tanah, petani dan buruh. Pertubuhan Masyarakat Sivil Indonesia telah menarik banyak kumpulan dan individu seperti doktor, peguam, pakar pertanian, dan lain-lain untuk menyertai gerakan dan advokasi, yang membolehkan Pertubuhan Masyarakat Sivil berkembang dan menjadi lebih dipercayai dalam bidang masing-masing. Kebanyakan Pertubuhan Masyarakat Sivil Indonesia menyumbang kepada proses membuka Indonesia kepada demokrasi selepas Era Orde Baru (selepas 1998).

Pertubuhan Masyarakat Sivil Indonesia seperti LaporCovid-19, juga sangat mengambil berat terhadap usaha pencegahan wabak kerajaan. Apabila wabak koronavirus bermula pada awal Mac 2020, agensi kerajaan juga mengetahui tentang wabak tersebut. Sementara itu, sekumpulan individu yang prihatin dengan isu hak asasi manusia dan kesihatan masyarkat semasa wabak koronavirus menubuhkan Pertubuhan Masyarakat Sivil yang dipanggil LaporCovid-19. LaporCovid-19 telah mewujudkan platform perkongsian maklumat koronavirus yang membolehkan rakyat berkongsi maklumat tentang wabak yang mereka alami yang tidak diketahui oleh kerajaan.

Dengan memanfaatkan kuasa komuniti untuk merekodkan jumlah kes positif dan melaporkan perkara berkaitan wabak di kawasan larangan, platform LaporCovid-19 telah menjadi platform untuk menyimpan data mengenai wabak di Indonesia. Melalui platform LaporCovid-19, kerajaan dan rakyat boleh mendapatkan maklumat mengenai taburan dan keterukan wabak domestik, dan kerajaan juga boleh menggunakan data yang dikumpul untuk merangka dasar pencegahan wabak dan mengambil tindakan yang sesuai.

LaporCovid-19 terdiri daripada pertubuhan masyarakat sivil berikut: Yayasan Lembaga Bantuan Hukum Indonesia (YLBHI), majalah Tempo, Efek Rumah Kaca, Ketelusan Antarabangsa Indonesia (Transparency International Indonesia), Pejabat Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Law and Human Right Office (Lokataru)), Hakasasi.id, Perikatan U-Inspire Indonesia, Sekolah Tinggi Hukum Indonesia Jentera, NarasiTV, Pusat Rujak Kajian Bandar (Rujak Center for Urban Studies), dan Pemerhati Rasuah Indonesia (Indonesia Corruption Watch (ICW)). Yayasan Bantuan Guaman Indonesia (YLBHI) merupakan pertubuhan hak asasi manusia yang terus memantau kerajaan Indonesia dalam memenuhi tanggungjawab hak asasi manusia sejak penubuhannya pada 1970-an. Majalah Tempo merupakan sebahagian daripada kumpulan Tempo(Tempo group), yang menfokuskan kepada isu-isu seperti hak asasi manusia, alam sekitar, rasuah dan lain-lain. 

Pakatan pertubuhan masyarakat sivil yang terdiri daripada LaporCovid-19, Pemerhati Rasuah Indonesia, Yayasan Lembaga Bantuan Hukum Indonesia (YLBHI), Lembaga Pendidikan Penelitian dan Penerangn Ekonomi dan Sosial (LP3ES), dan Pejabat Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Lokataru) telah menunjukkan betapa mengelirukan dasar pencegahan wabak kerajaan Indonesia. Pakatan pertubuhan masyarakat sivil berpendapat bahawa sejak wabak itu merebak pada awal Mac 2020, kerajaan Indonesia tidak menunjukkan prestasi yang baik dan gagal mencegah wabak.  

LaporCovid-19 mengkritik kerajaan kerana melakukan banyak kesilapan dalam usaha mencegah wabak dan gagal membendung peningkatan jumlah kematian secara berkesan. Data LaporCovid-19 telah menunjukkan bahawa jika kerajaan bertindak agresif dan melaksanakan dasar pencegahan dan kawalan yang kuat pada awal wabak, kadar kematian boleh direndahkan sejak awal permulaannya. (Rujuk artikel khas Kasus Meninggal Melonjak & RS Kolaps, Negara Gagal Tangani COVID?", Tirto.id, 6 Julai 2021, https://tirto.id/ght5) Walaupun kerajaan Indonesia membelanjakan 695.2 trilion rupiah (kira-kira NT$1.4 trilion) untuk mencegah wabak pada 2020, tetapi akhirnya tidak berkesan. (Rujuk Kompas Indonesia, 20 Disember 2020, “Kebijakan Pemerintah Menangani Covid-19 Sepanjang Semester II 2020.”)

Penerangan: Jumlah kematian harian akibat koronavirus di Indonesia dari 27 Julai hingga 4 Ogos 2021

Penerangan: Jumlah kematian harian akibat koronavirus di Indonesia dari 27 Julai hingga 4 Ogos 2021

Kadar Vaksinasi dan Kematian COVID-19

Pada awal wabak, vaksinasi COVID-19 sangat tidak cekap. Pada mulanya, kerajaan dan syarikat farmaseutikal ingin mendapatkan wang daripada rakyat melalui program vaksinasi berbayar. Setelah tentangan yang kuat, kerajaan akhirnya bersetuju untuk memberikan vaksin COVID-19 secara percuma kepada semua rakyat Indonesia.

Pada permulaan program vaksinasi berbayar, Presiden Jokowi bercadang untuk membenarkan sebuah kilang farmaseutikal milik kerajaan, iaitu Kimia Frama untuk mengedarkan vaksin. Kerajaan kemudiannya baru mengumumkan vaksinasi percuma untuk semua rakyat setelah program vaksinasi berbayar dibatalkan. (Rujuk Indonesia Times, 16 Julai 2021, “Batalkan Vaksinasi Berbayar, Jokowi Pastikan Seluruh Vaksin Covid-19 Percuma.”)

Tetapi, keadaan telah bertambah baik sejak 1 Mei 2022. Lebih daripada 199 juta orang di Indonesia menerima vaksin dos pertama, kira-kira 96% daripada jumlah sasaran 208 juta. Lebih kurang 165 juta orang menerima dos kedua, kira-kira 34% daripada jumlah sasaran. Jumlah kematian Indonesia akibat Covid-19 mencapai 156,273 orang. (Rujuk https://covid.go.id, 1 Mei 2022).

Di samping itu, terdapat juga banyak masalah dari segi ujian di Indonesia. Kos ujian tindak balas berantai polimeras (Polymerase chain reaction, nama singkat: ujian PCR) dan ujian antigen(antigen tests) adalah sangat mahal dan telah menjadi beban berat kepada kumpulan yang terdedah di Indonesia. Mengambil November 2020 sebagai contoh, rakyat Indonesia terpaksa mengosongkan dompet mereka dan mengumpul sehingga 1.5 juta rupiah (kira-kira NT$3,037) untuk membayar kos ujian PCR.

Ujian untuk koronavirus adalah percuma atau bersubsidi di kebanyakan negara, tetapi kerajaan Indonesia, syarikat farmaseutikal dan klinik berharap untuk mendapat keuntungan dengan mengenakan bayaran tinggi kepada rakyat. Tetapi, kerajaan Indonesia akhirnya memutuskan untuk mengurangkan harga ujian pada 27 Oktober 2021. Harga ujian PCR di Jawa dan Bali ialah 275,000 rupiah (kira-kira NT$557), dan harga ujian untuk kawasan lain ialah 300,000 rupiah (kira-kira NT $607).[3]

Epilog

Wabak Covid-19 bermula sebagai masalah kesihatan awam tetapi akhirnya berubah menjadi krisis ekonomi dan sosial. Di negara seperti Malaysia atau Brazil, rakyat negara tersebut akan menuntut mereka yang berkuasa supaya meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan langkah pencegahan wabak kerajaan.

Bagi negara yang tidak mempunyai sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi yang baik, wabak koronavirus memberi impak yang besar kepada ekonomi dan kesihatan rakyat, seperti Indonesia. Langkah pencegahan wabak kerajaan Indonesia, seperti memaksa orang ramai mematuhi peraturan pencegahan wabak dan memaksa rakyat supaya divaksin, malah telah melanggar hak asasi manusia.

Ekonomi Indonesia terus merosot apabila wabak koronavirus melanda. Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Indonesia turun daripada 5.02% pada 2019 kepada -2.07% pada 2020 (Sumber: Badan Pusat Statistik, Indonesia, 2021). Dari sini kita boleh membayangkan masa depan Indonesia: peningkatan kadar kemiskinan, pengangguran, pemberhentian kerja di serata tempat, dan kemajuan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs) yang dicadangkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan terjejas. Selepas wabak, rakyat Indonesia yang terjerumus ke dalam kemiskinan dijangka akan mencecah 4.86 juta orang, mencapai 10.98% daripada jumlah populasinya. (Sumber: Kementerian Kewangan Indonesia, 2020: 3)

Malah sehingga hari ini dasar pencegahan wabak 2021 kerajaan Indonesia masih tidak jelas, dan kehidupan rakyat akan menjadi lebih susah. Namun apa yang pasti buat masa ini ialah hutang luar negara Indonesia akan semakin meningkat demi memerangi wabak, terutamanya untuk merangsang ekonomi dan menyediakan vaksin

Julai 2021 merupakan bulan yang tidak akan dilupakan oleh rakyat Indonesia kerana ia adalah tempoh paling teruk semasa wabak koronavirus. Keruntuhan sistem perubatan dan kekurangan silinder oksigen menyebabkan kadar kematian meningkat dengan cepat. Ubat dan silinder oksigen adalah mahal dan sukar diperolehi kerana syarikat farmaseutikal menaikkan harga untuk mendapatkan lebih banyak keuntungan.

Kerajaan Indonesia sibuk mengkritik rakyat kerana tidak mematuhi peraturan pencegahan wabak, dan menukarkan peraturan setiap minggu untuk memastikan rakyat semua berada di dalam rumah. Kerajaan tidak memberikan apa-apa bantuan kepada golongan miskin, selain daripada memberi 10 kilogram beras kepada mereka. Bahan bantuan asas yang seharusnya diberikan kepada golongan miskin semasa wabak semuanya telah dgelapkan oleh Menteri Hal Ehwal Sosial, Juliari, yang telah dijatuhkan hukuman penjara sepanjang 12 tahun.[4]

Jumlah kematian akibat koronavirus pada Julai 2021 meningkat sebanyak 348% berbanding Jun 2021, dengan peningkatan kira-kira 27,409 kes. (Rujuk Kompas Indonesia, 5 Ogos 2021, <Jumlah kematian pesakit Covid-19 pada bulan Julai meningkat sebanyak 348%, dan ia dijangka menurun pada bulan Ogos> 〔Up 348 percent in July, Covid-19 Patient Deaths Expected to Decrease in August〕). Sehingga 1 Mei 2022, jumlah kematian akibat koronavirus di Indonesia telah mencapai 156,273 kes (Sumber: Komite Penanganan COVID-19). Kebanyakan kematian berlaku pada 2021.

Dasar pencegahan wabak kerajaan Indonesia juga mendapat kritikan daripada aktivis hak asasi manusia. “Laporan Hak Asasi Manusia Indonesia 2021”dari Jabatan Negara Amerika Syarikat menunjukkan bahawa Plan PeduliLindungi yang dilaksanakan oleh kerajaan Indonesia untuk mencegah wabak telah melanggar hak asasi manusia. Laporan itu menganggap bahawa aplikasi PeduliLindungi yang digunakan bagi pencegahan dan pengesanan wabak, menyekat pergerakan dan privasi orang ramai, dan juga mencuri data peribadi orang tanpa kebenaran. (Rujuk Kompas, 19 April 2022, <Dunia Memerlukan Tata Dunia Baru>〔Need for a New World Order〕).

Sumber laporan hak asasi manusia ini berasal daripada pertubuhan bukan kerajaan di Indonesia dan ia juga mengandungi data yang berkaitan dengan hak asasi manusia semasa wabak koronavirus di Indonesia. Oleh itu, walaupun ia disangkal sekeras-kerasnya oleh kerajaan Indonesia, laporan hak asasi manusia Jabatan Negara Amerika Syarikat tidak boleh diabaikan.

Selepas membaca laporan hak asasi manusia ini, anda akan mendapati bahawa sukar bagi Indonesia untuk melaksanakan dan menghormati hak asasi manusia semasa wabak, terutamanya kebebasan berpendapat, kebebasan berpersatuan, kebebasan bergerak, dan kebebasan peribadi. Kehidupan rakyat telah ditenterakan dan kebebasan bersuara juga telah ditindas semasa wabak. Semua langkah untuk menekan kebebasan rakyat adalah bertujuan untuk mengurangkan jumlah kematian akibat wabak koronavirus. Malah, setakat 1 Mei 2022, jumlah kematian akibat wabak koronavirus di Indonesia masih setinggi 156,273 orang. Oleh itu, sebagai sebuah negara demokrasi yang seharusnya mengutamakan perlindungan hak asasi manusia, pencegahan wabak tidak boleh menjadi alasan bagi kerajaan Indonesia untuk melanggar hak asasi manusia melalui penganiayaan dan penindasan.

Sumber Rujukan

BBC News Indonesia, 16 Mac 2020, “Virus corona: Jokowi umumkan langkah pengendalian Covid-19, tetapi tanpa komando nasional.”

BBC News Indonesia, 23 Ogos 2021, “Juliari Batubara divonis 12 tahun penjara.”

Badan Pusat Statistik, Republik Indonesia, 2021

Komite Penanganan COVID-19, rujuk https://covid.go.id, 1 Mei 2022

CNN Indonesia, 16 Mac 2020, “Media Asing Soroti Jokowi Minum Jamu Untuk Tangkal Corona.”

Kementerian Kewangan Indonesia, Kerangka Ekonomi Makro dan Pokok-pokok Kebijakan Fiskal Tahun 2021: Percepatan Pemulihan Ekonomi dan Penguatan Reformasi.,Jakarta: Kementerian Kewangan, 2020.

Kompas Indonesia, 16 April 2020, “Upaya-upaya TNI dalam Penanganan Pandemi COVID-19.”

Kompas Indonesia, 20 Disember 2020, “Kebijakan Pemerintah Menangani Covid-19 Sepanjang Semester II 2020.”

Kompas Indonesia, 5 Ogos 2021, <Kematian Covid-19 meningkat sebanyak 348% pada bulan Julai, dan Ogos dijangka menurun>(Up 348 percent in July, Covid-19 Patient Deaths Expected to Decrease in August.

Kompas Indonesia, 19 April 2022, "Dunia memerlukan susunan baru"(Need for a New World Order)

https://laporcovid19.org/tentang-kami

Liputan6.com,19 Mei 2022,Liputan6.com,2022年5月19日, “Perbandingan Harga Tes PCR, Antigen hingga Masker Dulu dan Sekarang, Bak Bumi dan Langit.”

Sindonews.com,5 Ogos 2021,“21 Juta Penduduk Indonesia Sudah Divaksin Covid-19 Secara Lengkap.”

Times Indonesia, 16 Julai 2021, “Batalkan Vaksinasi Berbayar, Jokowi Pastikan Seluruh Vaksin Covid-19 Gratis.”

Times Indonesia, 28 Julai 2021“Breaking News: Korupsi Bansos Covid, Juliari Batubara Dituntut 11 Tahun Penjara.”

Tirto,6 Julai 2021, "Kasus Meninggal Melonjak & RS Kolaps, Negara Gagal Tangani COVID?" https://tirto.id/ght5

Jabatan Negara Amerika Syarikat, Laporan Hak Asasi Manusia Indonesia 2021

 

[1]Lihat Kompas, "Upaya-upaya TNI dalam Penanganan Pandemi COVID-19"  ,16 April 2020

[2]Rujuk Kompas,"Breaking News: Korupsi Bansos Covid, Juliari Batubara Dituntut 11 Tahun Penjara," July 28, 2021

[3]Rujuk Liputan6.com, “Perbandingan Harga Tes PCR, Antigen hingga Masker Dulu dan Sekarang, Bak Bumi dan Langit,” 19 Mei 2022

[4 ]Rujuk BBC News Indonesia, “Juliari Batubara divonis 12 tahun penjara,” 23 Ogos 2021

Illustrators: Zheng Ting-Zhi

Illustrators: Zheng Ting-Zhi