Peringatan dan Pemeliharaan Identiti Rohingya di Myanmar yang Digerakkan oleh Komuniti
Mengenai Pengarang: Raiss Tin Maung
Raiss Tin Maung adalah seorang Rohingya dari Toronto. Beliau adalah pengasas dan pengerusi Rangkaian Hak Asasi Manusia Rohingya (Rohingya Human Rights Network) di mana beliau telah mengetuai kempen, petisyen, perhimpunan, penubuhan cawangan baharu, penulisan komuniti, dan inisiatif pengeluaran media. Beliau pernah mengetuai delegasi Rohingya untuk berucap di pelbagai acara termasuk Parlimen Kanada, Muzium Hak Asasi Manusia Kanada, Muzium Holocaust Montreal, le musée national des beaux arts du Québec, Mekanisme Siasatan Bebas Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Myanmar, dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Raiss juga telah mengetuai sebuah badan institusi kebajikan berdaftar yang menyokong program pendidikan dan latihan di Burma, Bangladesh, Indonesia, Malaysia, dan Pakistan dengan fokus utama untuk membantu komuniti Rohingya tempatan serta Rohingya yang berada di luar negara. Selain menjadi sukarelawan untuk komunitinya, Raiss juga menawarkan diri dalam projek pembangunan komuniti jangka panjang di Haiti, Ecuador dan Afrika Selatan.
Mengenai Rangkaian Hak Asasi Manusia Rohingya
Pengasas Rangkaian Hak Asasi Manusia Rohingya termasuk banyak kumpulan masyarakat sivil yang terlibat dalam urusan Rohingya, serta penceramah, penulis, dan pekerja dokumentasi hak asasi manusia di kem pelarian dan kampung-kampung. Mereka juga mendapat sokongan daripada Rohingya yang berada di serata dunia serta bantuan daripada banyak pihak. Rangkaian ini menerbitkan artikel, menghasilkan video wawancara, mendokumentasikan isu-isu hak asasi manusia, mengunjungi penggubal undang-undang, melancarkan petisyen, menyertai dan menganjurkan ucapan awam, mengadakan perhimpunan aman, menulis kepada media, serta bekerjasama dengan banyak organisasi masyarakat yang lain.
Rangkaian ini mengumpul, menyunting, menerbit, dan menyebarkan isu-isu berkaitan komuniti, serta menghasilkan dan menyiarkan video dan artikel yang berkaitan dengan kesedaran hak asasi manusia. Kesemua kandungan ini dihasilkan dan ditulis oleh Rohingya yang tinggal di dalam kem pelarian dan kampung-kampung. Pada masa yang sama, rangkaian ini juga memperoleh maklumat mangsa yang terselamat dan berusaha untuk memuat naik dokumen-dokumen tersebut ke laman web interaktif yang khusus untuk menerbitkan maklumat berkaitan hak asasi manusia Rohingya. (Laman web masih belum dibuka kepada umum )
Peringatan dan Pemeliharaan Identiti Rohingya di Myanmar yang Digerakkan oleh Komuniti
Pengenalan dan Latar Belakang Sejarah
Rohingya adalah etnik minoriti yang telah menetap di negeri Rakhine di barat laut Myanmar sejak abad ke-8[1]. Kebanyakan Rohingya mempunyai keturunan yang boleh dikesan kembali ke India Timur[2], berbeza dengan majoriti penduduk Rakhine dan seluruh Myanmar yang terdiri daripada etnik Arakan dan Bamar. Agama utama Rohingya ialah Islam, dengan sebilangan kecil penganut Hindu dan Kristian, berbeza dengan penduduk Rakhine dan Myanmar yang majoritinya beragama Buddha[3]. Walaupun terdapat perbezaan etnik dan agama, Rohingya, Arakan, Myanmar, dan etnik minoriti lain telah hidup bersama dengan aman selama beberapa abad.
Pada tahun 1948 semasa Burma mencapai kemerdekaan, Rohingya mendapat layanan yang baik dan mempunyai imej yang positif dalam pelbagai aspek seperti sosial, ekonomi, dan pengaruh politik. Sebagai contoh, mereka menyiarkan rancangan di Stesen Radio Nasional. Universiti Yangon dan banyak institusi pendidikan yang berprestij mempunyai persatuan pelajar Rohingya, dan ada juga yang memegang jawatan penting dalam jabatan kerajaan. Timbalan Ketua Turus Tentera Burma, Brigadier Jeneral Aung Gyi, pernah menyebut dalam satu ucapannya: “Rohingya adalah warganegara yang sah dan setara, etnik ini merupakan sebahagian yang tidak terpisahkan dari Republik Persekutuan Burma.”[4]
Selepas kudeta di Burma pada tahun 1962, ketegangan etnik meningkat dengan cepat di Negeri Rakhine dan banyak kawasan lain dalam negara. Pada tahun 1978, satu tindakan keganasan yang dipimpin oleh negara memaksa 200,000 orang Rohingya melarikan diri dari rumah mereka untuk mencari perlindungan di Bangladesh. Pada tahun 1982, Akta Kewarganegaraan Burma (Burma Citizenship Act) secara tiba-tiba merampas kewarganegaraan etnik ini. Selepas negara melaksanakan Akta Kewarganegaraan Burma, Rohingya menjadi sasaran dasar diskriminasi yang diluluskan oleh negara. Selain menghadkan kebebasan peribadi, banyak hak mereka juga dikurangkan, termasuk dalam aspek pendidikan dan mencari pekerjaan. Walaupun mereka dapat menjalankan perniagaan atau memiliki harta, mereka tetap bimbang bahawa ia boleh dirampas oleh kerajaan pada bila-bila masa. Mereka juga dikenakan sekatan dalam menggunakan sumber perubatan, memohon sijil perkahwinan, malah melahirkan anak pun menghadapi banyak halangan. Selain itu, pihak berkuasa juga boleh menangkap Rohingya secara sewenang-wenangnya, dan mengenakan pemerasan, penahanan, dan hukuman mati tanpa proses perundangan yang menjadi perkara biasa. Dalam bahasa Myanmar, istilah menghina “kalar”[5] mula digunakan sebagai nama panggilan bagi Rohingya, serupa dengan penggunaan kata “nigger” terhadap orang Afrika-Amerika. Sami dan tokoh agama yang berpengaruh turut menyeru supaya Rohingya dihapuskan.[6] Media sosial di Myanmar mula dipenuhi dengan komen seperti “sumbatkan mulut kalar dengan minyak babi”, “lebih baik untuk menghapuskan seluruh kaum”, “tuang petrol dan bakarkan, hantarkan mereka terus kepada Allah” dan sebagainya.[7]
Perkampungan Rohingya mengalami keganasan dan pembakaran yang dipimpin oleh kerajaan pada 1992, 2012, 2016 dan 2017, menyebabkan ratusan ribu melarikan diri dari Myanmar dan mencari perlindungan di kem pelarian di Bangladesh. Pada tahun 2017, berlaku “Operasi Pembersihan” (Clearance Operation) yang membakar hampir 400 kampung, mengakibatkan separuh daripada kampung-kampung tersebut musnah. Kira-kira 850,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, dan mereka yang terselamat menceritakan pengalaman pahit yang sukar diketahui oleh dunia luar, termasuk kanak-kanak yang dibakar hidup-hidup, wanita yang dirogol secara berkumpulan, serta orang tua dan individu kurang upaya yang dibunuh dengan kejam. Pada tahun 2019, kerajaan Mynmar telah didakwa di hadapan Mahkamah Antarabangsa, iaitu badan kehakiman tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kerana melanggar Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid (UN Genocide Convention). Pada tahun 2020, Mahkamah Antarabangsa mengarahkan kerajaan Myanmar untuk “mengambil semua langkah dalam bidang kuasa mereka untuk mencegah semua tindakan yang dilarang oleh Artikel II Konvensyen Genosid” tersebut.[8]
Laporan dari Reuters 2020 – 3 tahun selepas pelarian, Myanmar menghapuskan nama-nama kampung Rohingya dari peta.
Pihak berkuasa Myanmar menafikan Rohingya
Kerajaan Myanmar menafikan kewujudan orang Rohingya dan sejak meluluskan Akta Kewarganegaraan Burma pada tahun 1982, mereka tegas berpegang pada pendirian rasmi ini. Pihak berkuasa menjalankan siasatan rumah ke rumah di kampung-kampung Rohingya di Negeri Rakhine, merampas dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan sebelum tahun 1982, dan menggantikannya dengan dokumen dan bukti pengenalan baru, yang menyebut mereka sebagai “orang Bangladesh”. Pada tahun 2019, Aung San Suu Kyi, yang ketika itu merupakan Penasihat Negara, mewakili kerajaan Burma ke Mahkamah Antarabangsa untuk mempertahankan diri terhadap tuduhan tersebut. Aung San Suu Kyi dan anggota delegasinya enggan menggunakan istilah “Rohingya” dan hanya merujuk mereka sebagai “pendatang haram dari Bangladesh”.[9]
Pada tahun 2020, agensi pemetaan rasmi kerajaan Myanmar, iaitu Jabatan Hal Ehwal Am (GAD) di bawah Pejabat Kerajaan Persekutuan, menghapuskan nama-nama kampung Rohingya yang telah dibakar pada tahun 2017 dari peta rasmi. Selepas itu, Unit Pemetaan Maklumat Myanmar (Myanmar Information Mapping Unit, MIMU) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga mengikuti langkah ini[10], menyebabkan platform peta utama seperti Google Maps, Bing, Mapbox, dan Esri turut menghapuskan kampung-kampung tersebut kerana platform-platform ini menggunakan maklumat geografi rasmi daripada kerajaan Myanmar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai rujukan.
Kerajaan Myanmar dan kumpulan ekstremis Buddha tempatan boleh dikatakan telah melaksanakan tindakan yang sangat berkesan dalam hal ini, dan setakat ini, Rohingya telah disingkir sepenuhnya dari tanah air mereka. Dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu, lebih daripada separuh kampung Rohingya telah dibakar, dan hampir satu juta orang melarikan diri dari rumah mereka. Ribuan Rohingya terpaksa menaiki bot pemerdagangan manusia untuk melarikan diri ke Malaysia dan Indonesia, tetapi ramai meniggal dunia ketika melintasi Laut Andaman. Dari jumlah 3.5 juta Rohingya di seluruh dunia, hanya 600,000 yang masih tinggal di Burma, manakala hampir 130,000 orang tinggal di kem-kem khas di dalam negara sebagai “Pengungsi Dalam Negeri” (Internally Displaced Persons)[11]. Dalam masyarakat Myanmar hari ini, tiada sesiapa dibenarkan menggunakan istilah “Rohingya”. Etnik ini bukan sahaja menghadapi krisis kelangsungan hidup di Myanmar, malah identiti dan ingatan sejarah tanah air mereka juga akan terpadam.
Peringatan dan Pemeliharaan Identiti
Sebagai kumpulan etnik yang menghadapi krisis kehilangan identiti, Rangkaian Hak Asasi Manusia Rohingya bekerjasama dengan kumpulan komuniti Rohingya di kem pelarian di Bangladesh dan mangsa yang terselamat dari kampung di Myanmar, dan melancarkan inisiatif untuk menyimpan semua maklumat geografi tentang kampung Rohingya dalam bentuk digital. Mereka mengumpul pelbagai jenis bahan media dan rakaman sebagai bukti kewujudan orang Rohingya di Myanmar, dengan harapan dapat mencapai semua orang Rohingya. Sebarang dokumen yang mencatatkan kenangan dan identiti kampung halaman mereka akan dikumpul dan disusun. Inisiatif ini dilaksanakan dalam empat fasa:
Fasa Pertama: Menggunakan sistem maklumat geografi rasmi yang diterbitkan sebelum tahun 2020, mencari semua kampung Rohingya, termasuk kampung-kampung yang telah dibakar di Myanmar. Semua maklumat ini disimpan dalam pangkalan data geografi dalam talian.
Contoh gambar- Digabungkan dengan maklumat geografi, setiap kampung yang telah dibakar ditandakan dengan jelas pada peta
Mengintegrasikan maklumat yang dikumpulkan, termasuk dokumen pengenalan diri penduduk kampung, dan membandingkannya dengan maklumat tentang kampung yang telah dibakar
Fasa Kedua: Mengumpul dokumen yang mengandungi maklumat tentang kampung-kampung Rohingya daripada mereka yang dapat dijumpai. Dokumen ini akan mencatatkan butiran kampung pada masa lalu, termasuk kemudahan yang boleh dijadikan sebagai tapak kesedaran sejarah (sites of conscience) di masa hadapan, seperti tanah perkuburan, masjid, sekolah, terutamanya sekolah Islam (madrassa), klinik, farmasi, dan lain-lain.
Fasa Ketiga: Mengumpul nama dan cerita setiap individu Rohingya yang dapat ditemui, termasuk mereka yang terselamat dan juga yang telah terbunuh dalam pembunuhan beramai-ramai.
Fasa Keempat: Maklumat yang telah dikumpulkan akan ditambahkan ke dalam data setiap kampung. Kemudian ia akan dikongsikan dengan masyarakat Rohingya di seluruh dunia serta komuniti hak asasi manusia.
Mengintegrasikan maklumat yang dikumpulkan, rekod video penduduk kampung yang masih hidup, dan menggabungkannya dengan maklumat tentang kampung yang telah dibakar
Setiap fasa menghadapi pelbagai cabaran. Oleh kerana semua tugas ini digerakkan dan dilaksanakan oleh komuniti sendiri, cabaran pertama ialah melatih kakitangan untuk mendaftarkan data. Ini sahaja memerlukan jurulatih profesional, alat, peralatan, dan sebagainya.
Selain itu, menjalankan kerja di dalam kem pelarian bukanlah mudah. Gangguan dari kumpulan samseng dan keganasan yang disebabkan oleh dadah menjadikan keadaan sangat tidak stabil, menyukarkan pengumpulan dan promosi maklumat selama bertahun-tahun. Lebih mencabar lagi untuk masuk ke kampung-kampung Rohingya yang masih ada di dalam Burma. Pada masa yang sama, sistem apartheid yang dikuatkuasakan oleh tentera Burma secara ketat menghadkan pergerakan orang Rohingya, melarang mereka melawat kampung-kampung yang berbeza, menyebabkan aktiviti ini hampir mustahil untuk dijalankan. Tambahan pula, pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak etnik turut memberi kesan kepada orang Rohingya, menjadikan dokumentasi keadaan hak asasi manusia di Burma lebih sukar.
Sebaliknya, pelarian Rohingya tersebar di seluruh dunia, menjadikannya sukar untuk menghubungi semua orang semasa mengumpul data. Selain dari Bangladesh, ramai pelarian Rohingya juga menetap di Pakistan, Arab Saudi, Malaysia, Thailand, dan Indonesia. Walaupun semakin ramai yang pergi ke Amerika Syarikat untuk mencari peluang penempatan, terdapat juga sebilangan yang tinggal di Amerika Utara, Eropah, dan Australia.
Akhir sekali, kewangan menjadi cabaran utama jika semua tugas dalam skala di atas ingin dicapai. Untuk mencapai seluruh penduduk Rohingya, program ini sangat luas dan memerlukan pasukan sukarelawan yang berdedikasi, serta gaji kakitangan, alat latihan, peralatan, kelengkapan dan sebagainya untuk menjalankan kerja dengan berkesan. Selepas data dikumpul, ia perlu disusun menjadi maklumat yang berguna, yang juga memerlukan dana yang mencukupi untuk dilaksanakan.
Kesimpulan
Komuniti Rohingya menggalakkan usaha memperingati dan memelihara identiti mereka, bertujuan untuk merekodkan tapak warisan Rohingya, termasuk tapak kesedaran sejarah. Beberapa tapak ini mempunyai nilai sejarah dan budaya yang tinggi. Usaha seperti ini belum pernah dilakukan sebelum ini, dan hasil yang diperoleh akan menjadi sangat bermakna bagi masyarakat Rohingya kerana mereka berusaha membuktikan kewujudan tanah air mereka, serta memelihara warisan budaya dan identiti etnik mereka.
Hasil kajian ini juga amat penting kepada komuniti hak asasi manusia antarabangsa kerana ia boleh digunakan sebagai alat pendidikan dan penyebaran maklumat. Selain itu, ia berpotensi membantu sejuta Rohingya di kem pelarian di Bangladesh dengan mewujudkan saluran untuk interaksi aman dan membantu mereka yang berharap suatu hari nanti dapat pulang ke Negeri Rakhine. Akhirnya, ia juga berharap dapat menyumbang kepada proses keadilan dan akauntabiliti masa hadapan, di mana penguatkuasaan undang-undang boleh menggunakan maklumat khusus ini untuk memulakan siasatan kes.
Paling penting, kerana inisiatif ini dimulakan dan dikendalikan oleh komuniti Rohingya sendiri, ia merupakan contoh terbaik dalam membina kapasiti komuniti dan menguruskan hal ehwalnya sendiri. Justeru, ia dapat membanggakan dan memperkasakan generasi Rohingya kini dan akan datang.
[1] The Wall Street Journal (Secebis Sejarah: Minoriti Rohingya Myanmar)
[2] Kumpulan Hak Minoriti-Muslim dan Rohingya di Myanmar
[3] Harvard Divinity School—Laporan Tahunan tentang Agama dan Kehidupan Awam(Conflik Myanmar)
[6] (Sami Buddha Myanmar secara terbuka menyokong tentera)(foreignpolicy.com)
[7] (Mengapa Facebook Kalah Dalam Perang Ucapan Kebencian di Myanmar)(reuters.com)