:::

Kenangan Senyap: Suara Wanita-Wanita Berani Yang Mengalami Keganasan Seksual Yang Berkaitan Dengan Konflik

Voices Of Women Media mengendalikan bengkel di Kathmandu, Nepal.

Voices Of Women Media mengendalikan bengkel di Kathmandu, Nepal.

Mengenai Pengarang - Pooja Pant

Pooja Pant adalah seorang pembuat filem, aktivis hak wanita, dan wartawan visual. Beliau adalah pengasas dan pengarah Voices Of Women Media, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berkomitmen untuk memperjuangkan hak wanita melalui penggunaan multimedia dan teknologi. Pooja Pant pernah bekerja untuk pelbagai syarikat media di seluruh dunia. Pada tahun 2007, beliau mendirikan Voices Of Women Media di Amsterdam, dan baru-baru ini mendirikan Final Take Films di Kathmandu, Nepal, tempat beliau kini menetap.

 

Suara Wanita

Voices Of Women Media berkomitmen untuk memajukan kepemimpinan wanita, mengubah persepsi masyarakat tentang gadis dan wanita, serta bertujuan untuk membangunkan dunia yang adil dan bebas diskriminasi. Dengan menyediakan peluang dalam bidang media, teknologi, seni, dan pendidikan, dan dengan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran peribadi, wanita dapat secara proaktif menyuarakan pengalaman mereka dan membawa perhatian kepada isu-isu yang sering diabaikan dan disenyapkan dalam komuniti mereka. Voices Of Women Media percaya bahawa apabila wanita menerima pendidikan, mendapat peluang, meningkatkan kemahiran mereka, menpunyai kebebasan untuk menyuarakan pengalaman mereka, dan menjadi bebas dari segi kewangan, mereka akan memiliki pengetahuan dan keyakinan untuk menghadapi segala ketidakadilan.

 


Kenangan Senyap: Suara Wanita-Wanita Berani Yang Mengalami Keganasan Seksual Yang Berkaitan Dengan Konflik

Voices Of Women Media mengendalikan bengkel di Kathmandu, Nepal.

Voices Of Women Media mengendalikan bengkel di Kathmandu, Nepal.

Hak bersuara adalah hak asasi manusia dan setiap orang harus mempunyai hak untuk bercakap dan didengari.

Di Nepal, sistem patriarki masih sangat berpengaruh. Walaupun hak wanita kelihatan diakui, masalah seperti keganasan berasaskan jantina masih kekal serius, khususnya keganasan seksual yang menjadi isu yang sangat ketara. Menurut Polis Nepal, terdapat 3,481 kes keganasan seksual yang dilaporkan pada tahun fiskal 2021/2022. Kajian Demografi dan Kesihatan Nepal pada tahun 2016 menunjukkan bahawa 66% wanita yang mengalami penderaan fizikal atau seksual tidak menerima bantuan atau berbincang dengan orang lain mengenai cara untuk mencegah atau mengelakkan penderaan.

Antara punca utama keganasan termasuk ideologi patriarki, impuniti sosial yang meluas, suasana sosial yang bersifat diskriminasi, dan kegagalan kerajaan dalam melaksanakan sistem penyiasatan dan keselamatan. Dari pengalaman, sebab utama mengapa wanita enggan melaporkan atau membincangkan keganasan seksual adalah kerana rasa malu, takut akan stigma, dan ketakutan terhadap kutukan sosial.

Pada tahun 1996, perang meletus di antara pihak berkuasa Nepal dan parti pemberontak Maois. Pertempuran tersebar di seluruh negara, terutamanya di kawasan pedalaman. Beratus-ratus wanita yang miskin dan yang terpinggir menjadi mangsa keganasan seksual semasa konflik tersebut. Peperangan ini telah memberi kesan besar kepada ramai wanita muda, terutamanya wanita di kawasan luar bandar Nepal. Serangan seksual dan keganasan seksual telah digunakan sebagai alat perang oleh kedua-dua pihak dalam konflik untuk menghukum wanita. Di Nepal, sistem patriarki dan impuniti sosial selama bertahun-tahun telah membolehkan pelaku keganasan tidak dihukum dan mangsa kekal tidak dikenal dan tidak dilindungi. Mereka yang terselamat tidak hanya menghadapi trauma psikologi, emosi, dan fizikal, tetapi juga menghadapi stigma sosial yang menghalang mereka daripada berkongsi pengalaman mereka.

Malah sebelum konflik tercetus, wanita di Nepal mengalami peminggiran dan penindasan pada tahap yang berbeza-beza. Faktor-faktor seperti bangsa, agama, pergantungan ekonomi dan status lahir wanita semuanya meningkatkan kelemahan mereka. Kelemahan ini menjadi semakin mendalam semasa konflik. Keganasan seksual, khususnya, masih merupakan peninggalan yang ditakuti, dipandang rendah, dan tidak diiktiraf selama beberapa dekad konflik bersenjata (1996-2006) di Nepal.

Maya ialah seorang murid yang bersekolah di sebuah kampung kecil di bahagian barat Nepal. Dalam perjalanan ke sekolah setiap hari, dia sering melihat beberapa askar berjalan di jalan raya. Pada suatu hari selepas sekolah, dia mencuci pinggan di hadapan rumahnya manakala ibu bapanya bekerja di ladang. Semasa itu, sebuah jip yang penuh dengan askar memandu ke rumahnya untuk mencari kakaknya tetapi kakaknya tidak berada di rumah. Oleh itu, mereka membawa Maya masuk ke dalam rumah, menutup pintu dan tingkap, dan bergilir-gilir menyerangnya secara seksual. Dia baru berusia 10 tahun ketika itu. Maya tidak pernah memberitahu sesiapa tentang kejadian itu, baik kepada ibu bapanya mahupun kepada kakaknya. Sejak hari itu, dia tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah lagi dan tidak pernah menerima sebarang pampasan.

Voices Of Women Media mengendalikan bengkel di Kathmandu, Nepal.

Voices Of Women Media mengendalikan bengkel di Kathmandu, Nepal.

Selepas perang berakhir pada November 2006, kedua belah pihak yang terlibat dalam konflik menandatangani Perjanjian Keamanan Komprehensif (Comprehensive Peace Agreement, CPA) untuk menamatkan pertikaian tersebut. Pada tahun 2007, sebuah perlembagaan interim telah diperkenalkan, manakala sebuah perlembagaan baharu telah ditetapkan pada tahun 2015. Banyak reformasi telah dilakukan untuk melindungi hak wanita dan hak minoriti. Untuk mengendalikan isu-isu pasca-konflik, kerajaan telah membangunkan Rancangan Tindakan Kebangsaan (National Action Plan, NAP) dan menubuhkan dua jawatankuasa. Tetapi, perjanjian tersebut tidak menyentuh mengenai keganasan seksual atau serangan seksual semasa perang. Pelan Tindakan Kebangsaan yang pertama tidak merangkumi mangsa keganasan seksual. Sudah lebih 15 tahun sejak Perjanjian Keamanan Komprehensif ditandatangani, tetapi bagi pelbagai pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku pada tahun-tahun tersebut, hampir tiada sesiapa yang menuntut tanggungjawab terhadap pelaku-pelaku masa itu. Beberapa mangsa menerima pampasan kewangan, iaitu 100,000 rupee untuk sebahagian keluarga mangsa yang hilang. Tetapi, bagi kebanyakan mangsa, termasuk mangsa yang terselamat daripada keganasan seksual yang berkaitan dengan konflik, tidak menerima sebarang pampasan. Tanpa kesan undang-undang untuk keganasan seksual berkaitan konflik, kadar keganasan seksual di Nepal terus meningkat. Mereka yang terlibat dalam serangan seksual dan pembunuhan Nirmala Pant tidak menghadapi sebarang hukuman.

Dalam budaya yang penuh dengan stigma, pengasingan, dan impuniti, Voices Of Women Media melakukan satu tugas yang penting, iaitu mendokumentasikan kisah-kisah kemanusiaan dalam konflik. Dengan menggunakan multimedia untuk merekodkan cerita-cerita tersebut dan mempersembahkannya di seluruh negara dan dunia, mereka mula memelihara aspek kemanusiaan yang hilang dalam konflik. Voices Of Women Media memainkan peranan yang penting dalam menggunakan pameran foto, dokumentasi video, dan penceritaan lisan untuk mendedahkan pengalaman wanita dalam konflik. Dalam proses mendokumentasikan mangsa keganasan seksual yang berkaitan dengan konflik, kami sedar bahawa banyak cerita tidak boleh didedahkan kepada umum. Ini disebabkan oleh kekurangan keyakinan wanita-wanita ini terhadap keinginan ahli politik untuk menangani isu ini dengan lebih lanjut, jadi mereka memilih untuk berdiam diri. Pada masa yang sama, mereka menyedari jika mereka memilih untuk bersuara tentang isu-isu yang sensitif ini, mereka akan menghadapi tekanan daripada pendapat umum. Bagaimana untuk mencari wanita-wanita yang memilih untuk berdiam diri ini dan mendedahkan pengalaman mereka sentiasa menjadi persoalan yang mengganggu aktivis hak wanita.

Lina adalah seorang ibu muda berusia 24 tahun, dan mempunyai dua anak lelaki. Suaminya bekerja sebagai buruh bermusim di India. Pada suatu malam, beberapa gerila Maois datang ke rumahnya. Semasa konflik, gerila Maois sering bersembunyi di rumah penduduk kampung, menerima layanan, makanan, dan perlindungan daripada penduduk kampung yang bersimpati. Gerila-gerila muda tersebut memberitahu Lina bahawa akan ada satu pesta di kampung berhampiran pada malam berikutnya dan menjemput Lina bersama-sama mereka ke pesta itu. Ini juga keadaan biasa pada masa itu. Malam berikutnya, Lina mengikuti gerila-gerila ke kampung berhampiran. Semasa melalui hutan dalam perjalanan, mereka menahannya di kandang lembu dan melakukan serangan seksual ke atasnya. Selepas itu, mereka meninggalkan Lina di kandang lembu dan melarikan diri. Lina pulang ke rumah dan menceritakan pengalamannya kepada keluarganya. Apabila suaminya pulang dari kerja, dia memarahi Lina dan meninggalkan Lina dan dua anaknya. Sejak itu, Lina membesarkan dua anak lelakinya seorang diri tanpa mendapat sebarang bantuan pampasan.

Hampir dua dekad selepas kejadian ini berlaku, semasa mendokumentasikan kisah wanita yang menjadi mangsa konflik, Voices Of Women Media bertemu dengan beberapa wanita yang tidak sabar-sabar untuk mengongsikan pengalaman mereka, dengan harapan dapat menggunakan cerita mereka untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kesulitan yang mereka hadapi. Walau bagaimanapun, cabaran yang kami hadapi adalah bagaimana mendedahkan cerita mereka tanpa mendedahkan identiti mereka. Kami telah memilih untuk menggunakan cara kreatif untuk menyampaikan cerita-cerita mereka dan telah menganjurkan bengkel selama seminggu untuk mencipta puisi. Sebanyak 11 mangsa keganasan seksual berkaitan dengan konflik  menghadiri bengkel tersebut, dan Lina dan Maya merupakan dua daripadanya. Selepas berusaha bersunguh-sungguh, mereka mencipta cerita dan puisi yang mendedahkan stigma yang berterusan, keputusasaan, dan kemarahan yang mereka alami, serta keazaman mereka untuk mengejar keadilan walaupun dihadapi dengan pelbagai rintangan. Seperti yang disampaikan oleh pengajar bengkel puisi mereka: “Mereka telah menjadi penyair dengan bermisi.”

Kami amat mempercayai bahawa dengan menyediakan wanita ruang yang selamat di mana mereka tidak didiskriminasi dan di mana mereka disokong untuk menceritakan kisah mereka, kami dapat membantu mereka pulih bersama-sama . Dengan itu, Saya ingin berkongsi sebuah puisi di sini:

Tarikh, hari, masa,

Aku masih ingat dengan jelas

Tetapi kejadian pada hari itu

Terukir dengan jelas dalam ingatanku

Hari itu, tidak dapat aku lupakan

 

Saya berjalan dengan gembira di jalan, menuju ke rumah ibu bapa saya

Saya telah beberapa kali berjalan di jalan ini 

Pada hari itu juga, saya tidak sedar ada bahaya di hadapan

Jalan yang melalui hutan hujan menuju ke kampung

Telah lama ditinggalkan

Tetapi tidak dapat saya lupakan seumur hidup saya

 

Di tepi jalan, tasik yang tenang menyaksikan segalanya dengan senyap

Dahulu, saya berada di tepi tasik

Bermain air dengan riang gembira

Bahkan menangkap ikan

Tetapi kini, saya tidak tahan untuk melihatnya walau sekali pun

Pakaian tidur yang saya jahit sendiri, dengan corak biru dan hijau bersilang

Saat menjahit, saya begitu gembira

Saat mengoyak, menghancur dan membuangkan, saya begitu marah,

Pakaian tidur itu hanya saya pakai sekali

Tetapi tidak dapat saya lupakan seumur hidup saya

 

Tidak, segala ini tidak dapat saya lupakan

Setiap kali kenangan melanda

Degupan jantung masih meningkat

Penuh ketakutan dan kemarahan 

Diiringi dengan rasa menggeletar di seluruh badan

Dalam kesunyian, air mata mengalir di seluruh badanku

Tidak, segala ini tidak dapat saya lupakan

《Kenangan Senyap.》 dipamerkan di Pusat Kebudayaan Rusia di Kathmandu, Nepal pada 26 September 2019.

《Kenangan Senyap.》 dipamerkan di Pusat Kebudayaan Rusia di Kathmandu, Nepal pada 26 September 2019.

《Kenangan Senyap.》 dipamerkan di Pusat Kebudayaan Rusia di Kathmandu, Nepal pada 26 September 2019.

《Kenangan Senyap.》 dipamerkan di Pusat Kebudayaan Rusia di Kathmandu, Nepal pada 26 September 2019.

Pada tahun 2019, Voices Of Women Media menerbitkan koleksi puisi bertajuk “Kenangan Senyap”. Dengan kerjasama empat penyair Nepal dalam pameran seni visual, kami berusaha untuk membawa sedikit keadilan kepada wanita yang berani mencipta puisi-puisi ini, serta kepada ramai wanita yang belum kami temui yang berkongsi pengalaman yang sama. Sebelum kerajaan mula menggubal Pelan Tindakan Kebangsaan yang kedua, banyak aktivis hak asasi manusia dan pemimpin mangsa konflik telah lama bekerja bersama-sama. Ini merupakan kali pertama kerajaan Nepal mengakui wujudnya keganasan seksual di negara tersebut. Diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri Nepal, mereka secara rasmi mengumumkan bahawa mereka tidak mengendahkan keganasan seksual pada masa lalu dan akan bekerjasama dengan pemimpin mangsa untuk menetapkan mekanisme bagi menangani keganasan seksual semasa konflik. Pelan Tindakan Kebangsaan yang kedua memerlukan penyertaan mangsa konflik dalam penubuhan jawatankuasa tempatan yang akan bertanggungjawab untuk melaksanakan rancangan tersebut. Kerajaan Nepal juga sedang berusaha meluluskan rang undang-undang Keadilan Peralihan (TJ) dengan pindaan baharu untuk memberikan pampasan kepada wanita yang terselamat daripada kesusahan ini. Banyak organisasi, pemimpin mangsa konflik, dan peguam bela sedang berusaha untuk menubuhkan jawatankuasa yang dapat menyorot isu dan memberikan sedikit kelonggaran ekonomi dan keadilan kepada wanita yang sebelum ini terpinggir. Ini merupakan kemenangan besar bagi wanita dan memberikan harapan untuk masa depan.

《Kenangan Senyap.》 Sidang pelancaran buku (2019)

《Kenangan Senyap.》 Sidang pelancaran buku (2019)

《Kenangan Senyap.》 Sidang pelancaran buku (2019)

《Kenangan Senyap.》 Sidang pelancaran buku (2019)